Sunday, August 10, 2008

Tugasan yang mesti disiapkan dan diserahkan pada 16 Ogos 2008)

Makluman untuk semua peserta kursus:

Pada 16 Ogos, cikgu semua diminta pergi ke perpustakaan bagi membaca dan menyempurnakan semua tugasan yang diberi pada 8 Ogos 2008. Semua tutgasan hendaklah diselesaikan dan diemel kepada saya.

Senarai tugasan:

1. Cikgu Abdul Rahim: Ciri-Ciri Bahasa Negatif
2. Cikgu Zamharis: Kemahiran Mendengar
3. Cikgu Nik Rubiah: Bahasa Positif
4. Cikgu Siti Mahirah: Kemahiran Bercertita
5. Cikgu Johari Sidek: Teori-Teori Mendorong
6. Cikgu Mustafa: Pengcapan Awan
7. Cikgu Norhayati: Fungsi Komunikasi
8. Cikgu Umar Ahmad: Jenis-Jenis Soalan
9. Cikgu Abdul Rahman: Definisi Komunikasi Interpersonal
10. Cikgu Rusuhaiza: Bahasa Melayu Tinggi

3 comments:

kgserapoh said...
This comment has been removed by the author.
kgserapoh said...
This comment has been removed by the author.
Abd. Rahman bin Hj. Ismail M20071000111 said...

Definisi Kemahiran Interpersonal


Kemahiran Interpersonal merupakan kemahiran antara insan.Di Malaysia ada yang menyebutnya sebagai, ’ Kebolehan Antara Personal ’ dan ’ Kecekapan Interpersonal ’. Sementara itu, di Indonesia dikenali sebagai, ’ Ketrampilan Antarinsan ’ dan ’ Ketrampilan Personal ’. Kemahiran ini perlu dimiliki oleh pemimpin, ahli politik, ahli perniagaan, ahli profesional, guru dan sebagainya. Misalnya, dalam bidang pengurusan perhubungan luar, seorang pengetua perlu mempunyai kepercayaan bahawa kemahiran interpersonal boleh membantu pembangunan organisasi dan pengurusan hubungan luar ( Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia, 2006 ).
Abdullah Hassan & Ainon ( 2000), memfokuskan kemahiran interpersonal guru kepada kemahiran berkomunikasi, kemahiran mendengar, kemahiran bertanya, kemahiran berucap, maklum balas, unsur bahasa, mengubah sikap dan tingkahlaku, penampilan dan komunikasi bukan lisan. Ini bermakna seseorang guru perlu mengetahui kelapan-lapan aspek untuk menguasai kemahiran interpersonal.Sebagai contoh, kemahiran komunikasi diperlukan oleh seorang guru untuk menjadi popular, disukai ramai dan disanjung oleh anak-anak muridnya. Abdullah & Ainon, ( 2001: 20), juga menyatakan kemahiran komunikasi ialah kemahiran menggunakan bahasa untuk menimbulkan kesan-kesan positif ke atas hubungan sesama manusia, khususnya di antara pemimpin dan individu-individu yang dipimpinnya.
Trimanjuniarso ( 2006 ), menyatakan kemahiran interpersonal sebagai kemahiran berkomunikasi interpersonal. Individu yang mempunyai kemahiran ini biasanya jenis ekstrovert dan mempunyai hubungan yang baik dengan orang disekelilingnya. Mereka berkarisma, diplomasi, berupaya mempengaruhi dan memujuk. Biasanya individu sebegini mampu mengawal perbincangan/perundingan dengan baik. Oleh itu, kebanyakkan mereka akan menjadi ahli politik, tenaga pengajar, jurujual, peniaga dan pegawai perhubungan awam.

Menurut Stephen R. Covey ( 1996: 211 ), kemahiran interpersonal berkait dengan kepimpinan. Tabiat kepimpinan yang berkesan ialah berfikir menang-menang iaitu falsafah menyeluruh tentang interaksi manusia.
Di Roffey Park, sebuah organisasi yang melatih kemahiran mengurus dan sebagainya menyatakan kemahiran interpersonal merupakan benang emas yang menyentuh berbagai aspek bekerja dengan orang lain. Ia menyentuh pelbagai topik: kepimpinan, pengurusan, pembangunan organisasi, Perniagaan usahasama, pengurusan bakat dan latihan. Perkara-perkara ini adalah sesuatu yang bernilai untuk diperjelaskan dan mempunyai makna/tanggapan yang berbeza antara seseorang dengan orang yang lain.
Fiedler ( 1965 ), mendefinisikan kemahiran interpersonal sebagai sebahagian dari tret personaliti ( Zaharah Hassan, 1997 ).

Sulaiman Md. Yassin et al.( 2002: 109 ), mendefinisi kemahiran interpersonel dari sudut komunikasi dalam organisasi iaitu satu alat bagi seorang pemimpin dalam menentukan pembangunan dalam sesebuah organisasi. Proses menghantar dan menerima maklumat dan pendapat perlu berlaku bagi menjamin perkembangan yang harmoni dalam organisasi. Mohd Fadhilah Kamsah ( 2005 ) menegaskan, kemahiran interpersonal perlu dalam organisasi untuk mengembangkan organisasi dan potensi individu.

Murdock A. & Scutt C. ( 1994 ), mengatakan, kemahiran interpersonal dalam proses berkomunikasi boleh didefinisikan sebagai kemahiran untuk bertukar informasi, secara lisan atau melalui ekspresi pergerakan badan di antara dua pihak sama ada untuk mempengaruhi sesuatu tindakan atau pemikiran, sewaktu bekerja atau di masa lapang, dalam sesuatu komuniti ataupun dalam kehidupan individu. ( Dalam Ismail Zain, 2001 )

Kemahiran interpersonal didefinisikan sebagai kemampuan menjalin hubungan dengan orang lain ( networking skills ). Perhubungan dengan orang lain ini sudah mencapai tahap saling memahami dan tidak wujud jurang harapan, pengetahuan dan status. Kemahiran ini bukan sekadar mendalami ilmu ( the science ) tetapi memerlukan penguasaan terhadap seni dalam menjalinkan hubungan( the art ). Mereka yang mahir dalam bidang ini tahu apa yang harus dilakukan untuk dirinya dan diri orang lain. Rata-rata kemahiran interpersonal diperkukuh oleh penguasaan seni berkomunikasi ( the art of communication ) melalui bahasa tubuh, lisan dan tulisan. Penyataan ini bertepatan dengan takrifan Winston Fletcher, ( 2000), yang menyatakan, hubungan utama antara manusia terbentuk dan dibina oleh bahasa non-verbal walaupun bahasa lisan turut digunakan.
( Dalam www.e-psikologi.com, 2008 )
Dalam Wikipedia, kemahiran interpersonal iaitu merujuk kepada proses mental dan algorisma komunikatif yang digunapakai sewaktu komunikasi sosial dan interaksi mengambil tempat untuk mencapai kesan atau sebarang keputusan. Istilah kemahiran interpersonal sering digunakan dalam bidang perniagaan. Dalam hal ini, kemahiran ini digunakan untuk mengukur keupayaan seseorang untuk menjalankan operasi organisasi perniagaannya melalui komunikasi sosial dan interaksi. Kemahiran Interpersonal juga ditakrifkan sebagai kemahiran tentang bagaimana seseorang itu berhubung sesama sendiri. Umumnya, ketika berkomunikasi dengan orang lain atau secara professional, suasana saling hormat menghormati diperlukan di tempat kerja supaya konflik dapat diminimakan dan memaksima penglibatan atau bantuan untuk memperolehi maklumat atau menyiapkan tugas. Misalnya, untuk mendapatkan bantuan segera daripada rakan setugas, kita perlu bertanya dengan sopan dan memohon jasa baiknya untuk membantu kita kerana tugas yang perlu kita lakukan adalah kadar segera. Dengan kata-kata yang sopan, memujuk dan rasa rendah diri akan menyebabkan sipolan menangguhkan tugasya dan membantu kita. Kemahiran inilah yang dinamakan kemahiran interpersonal. Biasanya situasi ini berlaku dalam konteks situasi formal atau tidak formal. Berdasarkan keupayaan kemahiran interpersonal yang positif maka produktiviti dapat dipertingkatkan kerana kurangnya konflik. Dalam situasi tidak formal, keadaan ini membolehkan komunikasi berjalan baik dan menyenangkan. Mereka yang mempunyai kemahiran interpersonal yang baik akan mampu mengawal perasaan walaupun dalam keadaan tegang.
Kamaruddin Kachar ( 1989:4 ), menyatakan kemahiran interpersonal ialah perancangan personal, pemilihan personal, penyesuaian personal, perkembangan personal, kepimpinan personal, perhubungan personal, pergerakan personal, penasihatan personal, pengiktirafan personal dan penilaian personal.
Khairuddin Sabran ( 2006 ), kemahiran interpersonal ditakrif sebagai kemahiran yang melibatkan kebolehan antara manusia. Mereka yang berfungsi dengan baik dalam bidang ini adalah orang yang bertanggungjawab dan boleh diharap. Mereka memahami, berinteraksi dan berhubung dalam bermacam-macam situasi, Mereka juga diberi kepercayaan dan berfungsi dengan baik sebagai sebuah pasukan. Selain kemampuan untuk berhubung baik dengan orang lain, kemahiran interpersonal juga dilihat sebagai satu keupayaan dalam membina dan mengekalkan hubungan dari segi pemberian kasih sayang dan kemesraan. Tabiat memberi dan menerima serta prihatin terhadap orang lain adalah satu aspek yang penting dalam menjayakan hubungan sosial yang sihat. Nilai EQ ini membantu dalam menanam sikap kemesraan dengan orang lain.
Menurut Jaafar Muhamad ( 2003: 167-169 ), berpendapat dalam interaksi sesama manusia, terdapat berbagai-bagai jenis penglibatan manusia. Ada yang berinteraksi untuk kepentingan perniagaan, menjaga hati orang atas atau ketua, mengawal orang bawahan, bersuka-suka dengan rakan-rakan, bersama buah hati dan sebagainya. Dengan memahami kemahiran antara personal, sedikit sebanyak dapat membantu pengurus atau individu ke arah strategi pengurusan yang lebih baik. Oleh itu, takrifan kepada kemahiran interpersonal/ kebolehan antara personal ialah darjah keberkesanan individu atau pengurus terhadap orang lain dan juga keberkesanan orang lain terhadapnya. Pendek kata, ia merupakan satu kebolehan perhubungan yang mutual untuk mencapai matlamat masing-masing. Terdapat empat cara untuk membentuk kemahiran antara personal iaitu:
i) peka terhadap antara personal
ii) mengambil risiko antara personal
iii) membentuk perhubungan kerjasama
iv) menyelesaikan masalah antara personal
Beliau memetik pendapat Chris Argyris tentang ketidakcekapan antara personal
akan menimbulkan rasa ketidakpercayaan, terlalu bergantung kepada arahan dan garis panduan sehingga mengurangkan keberkesanan komunikasi.

Pendapat Jaafar Muhamad didapati seiring dengan pendapat seorang pakar bidang komunikasi antara manusia. Menurut Joseph. A. Devito ( 2003:16 ), kebolehan antara manusia ialah kemahiran berinteraksi dengan orang lain, mempelajari tentang mereka dan diri kita sendiri. Kita mengungkap tentang diri kita kepada orang lain sama ada dengan rakan baru, rakan lama, kekasih dan ahli keluarga. Melalui komunikasi interpersonal ini, kita membina, mengekalkan, adakala memusnahkan dan membaiki semula hubungan kita. Beliau menambah, komunikasi sesama manusia terdiri daripada kemahiran interpersonal, intrapersonal, kumpulan kecil dan komunikasi antara budaya.

Menurut Zaharah Hassan ( 1997 ), kemahiran interpersonal ialah kemahiran menangani manusia ( human skills ).Kemahiran ini merujuk kepada kebolehan untuk bekerja bersama, memahami dan memotivasi orang lain baik dalam kumpulan atau perseorangan. Secara lebih khusus, ini termasuklah kebolehan untuk memahami perasaan, sikap dan motif orang disekeliling kita berasaskan apa yang mereka lakukan dan ucapkan. Selain itu, kebolehan mewujudkan dan mengekalkan hubungan kerjasama, kebolehan untuk berkomunikasi secara jelas dan kebolehan untuk mempengaruhi orang lain.
Zaharah Hassan ( 1997 ), juga berpendapat , kemahiran interpersonel boleh didefinisikan sebagai:
i) komunikasi terutama mendengar secara aktif
ii) penetapan matlamat
iii) penilaian prestasi
iv) disiplin
v) mewakilkan ( delegating )
vi) menggunakan pujukan secara oral ( using oral persuasion)
vii) politiking
viii) mengendalikan mesyuarat
ix) menangani konflik
( Lewis: 1973, Porras & Anderson:1981, Boyatziz: 1982, Levine:1982, Whetton & Cameron:1984, Clark et al.:1985).

Al Ramaiah ( 1997 :46 ) mencadangkan kebolehan antara insan sebagai satu proses interaksi kita dengan pihak lain yang diperlukan oleh seorang pemimpin, pengurus dan pengetua bagi meningkatkan kecemerlangan dan keberkesanan organisasi di bawah jagaan mereka. Pola hubungan antara personal dalam organisasi merupakan fungsi kepada sistem komunikasi ( formal atau tidak formal ) dalam organisasi. Dalam hal ini, pandangan Md. Zahir Kechot ( 2000: 8 ) tentang cadangan takrif kemahiran interpersonal oleh Ramaiah itu ada benarnya. Menurutnya, kemahiran ini merupakan arah pemikiran seorang pengurus berinteraksi dengan pekerja bawahan. Hubungan sesama manusia yang berkesan dalam organisasi oleh merangsang manusia bekerja dengan lebih baik dan sempurna.

Michener & Delamater ( 1994: 312 ) menyatakan, hakikatnya, kemahiran antara personal bermula dengan hubungan antara dua insan yang melalui beberapa siri dan peringkat. Peringkat awal kedua-dua insan tidak mempunyai sebarang perkaitan. Peringkat seterusnya bercambah apabila mereka saling teruja. Peringkat ketiga melibatkan interaksi.

Kesimpulannya, kemahiran interpersonal boleh ditakrifkan sebagai satu kemahiran antara manusia. Kemahiran ini penting dalam banyak aspek seperti kepimpinan, pengurusan organisasi, perniagaan, politik, perkembangan bakat dan latihan. Manusia yang mahir dalam kemahiran ini akan mengawal dirinya dengan baik dan tenang dalam sebarang keadaan. Mereka berupaya menguasai orang lain dan memahami orang lain. Mereka juga menggunakan komunikasi dengan teratur seperti penggunaan bahasa memujuk sebagai alat untuk membina hubungan yang baik dan mendapat kepercayaan. Penampilan diri, mendengar berkesan , bahasa badan dll digunapakai bagi menonjolkan keberkesanan semasa berkomunikasi dengan orang lain dan memikirkan situasi menang-menang. Kemahiran interpersonal adalah satu seni komunikasi bukan sekadar pengetahuan sahaja.



Rujukan
Buku
Abdullah Hassan & Ainon ( 2000 ). Kemahiran Interpersonal Untuk Guru, Bentong,
Pahang: PTS Publication.
Abdullah Hassan & Ainon ( 2000 ). Bakat dan Kemahiran Memimpin, Bentong, Pahang:
PTS Publication.
Al Ramaiah ( 1997 ). Kepimpinan Pendidikan: Cabaran Masa Kini, Selangor:IBS Buku
Sdn. Bhd.
H. Andrew Michener & John D. Delamater ( 1994 ). Social Psycology, University of
Wisconsin, Madison
Jaafar Muhamad ( 2003 ). Kelakuan Organisasi, Kuala Lumpur: Leeds Publication.
Joseph. A. Devito ( 2003 ).Human Communication: The Basic Cours, University of New
York.
Kamaruddin Kachar ( 1989 ). Strategi Pentadbiran Pendidikan, Kuala Lumpur: Teks
Publishing Sdn.Bhd.
Stephen R. Covey ( 1996 ). 7 Tabiat Orang Yang Amat Berkesan, Kuala Lumpur:Prentice
Hall(M)Sdn Bhd.
Sulaiman Md. Yassin, Salleh Lebar, Azlina Abu Bakar ( 2002 ). Komunikasi Dalam
Pengajaran dan Kepimpinan Pendidikan, Shah Alam,Selangor:Karisma
Publication.
Zaharah Hassan ( 1997 ). Kemahiran Kepimpinan dan Kemahiran Interpersonal, Bangi
Selangor:Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zaharah Hassan ( 1997 ). Modul PJJ: Kemahiran Kepimpinan dan Kemahiran
Interpersonal, Bangi, Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kertas Seminar
Trimanjuniarso ( 2006 ). Komunikasi: Faktor Penting Menuju Sukses Kerja. Kertas Kerja dibentangkan di Rangka Pengembangan Softskill Mahasiswa, di Universiti PGRI Adi Buana Surabaya, Indonesia, 10 Oktober.
Internet
http://angrianiworld.com
http:// Wikepedia.
Sumber lain
Ismail Zain ( 2001).Jendela Minda.berita.perak.gov.my/april2001
Khairuddin Sabran ( 2006).Pembentangan Kertas Kajian Tindakan di Seminar Kajian Tindakan, di Dewan UITM Cawangan Seri Iskandar.Perak, 2 Julai.
Majalah Psikologi Sosial.

August 13, 2008 10:36 PM