Sunday, August 10, 2008

Artikel untuk bacaan

Kemestian Amalan Terbaik dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, B. A., M. A. (Mal), Ph. D. (Edin)
Jabatan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjung Malim, Perak


PENGENALAN

Apabila kita membicarakan ”kemestian amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu,” kita sebenarnya membicarakan apa yang perlu kita lakukan supaya p & p dalam bahasa Melayu ini dapat dilakukan secara profesional. Oleh sebab itu kita bolehlah bertanya kepada diri kita menggunakan kaedah satu H dan empat W, iaitu; (How = Bagaimana, What = Apa dia, When = Bila, Where = Di mana, dan Who = Siapa).

Kertas ini tidak menjawab semua soalan ini secara detel. Kertas ini cuba memberi jawapan detel kepada satu soalan sahaja, iaitu:

Apa dia (What?) yang perlu diajarkan supaya p & p bahasa Melayu itu dapat menjadi profesional?

Soalan-soalan lain disentuh secara ringkas apabila diperlukan, iaitu:

Bagaimana (How?) merujuk kepada kaedah mengajarkan bahasa Melayu, iaitu pendekatan, kaedah dan strategi mengajarkan bahasa Melayu. Ini terkandung dalam kursus pedagogi bahasa Melayu.
Bila (When?) merujuk kepada masa amalan terbaik itu dilaksanakan. Sebagai seorang guru, perlu mengamalkan apa sahaja yang berkaitan dengan bahasa Melayu semasa mengajarkan bahasa Melayu dan pada masa-masa lain asalkan konteksnya memerlukan.
Di mana (Where?) merujuk kepada tempat amalan terbaik itu perlu dilaksanakan, iaitu khususnya di sekolah dan di mana saja yang berkaitan dengan proses tersebut walaupun di luar sekolah.
Siapa (Who?), merujuk kepada semua pihak yang terlibat dalam dan dengan profesion perguruan. Semua guru hendaklah melakukan amalan terbaik dalam semua aktiviti p & p bahasa Melayu. Mereka yang terlibat termasuklah juga para pentadbir seperti pengetua, penyelaras, pegawai, hatta menterinya sekalipun.

Daripada apa yang kita dapat perhatikan daripada jawapan soalan (a. Apa dia yang perlu diajarkan?) itulah yang banyak menimbulkan persoalan. Soalan-soalan lain juga penting, tetapi izinkanlah kertas ini memberi tumpuan kepada satu soalan sahaja dahulu.


APA DIA YANG PERLU DIAJARKAN?

Dalam memberi jawapan kepada soalan ini, kertas ini mengemukakan satu istilah yang dapat membantu kita menangkap pokok perbincangan dengan mudah, iaitu BAHASA MELAYU TINGGI.

1. Adakah ini satu perkara baharu?

Kita sentiasa mahu yang terbaik bagi bahasa Melayu, supaya kita dapat mengajarkannya dengan terbaik juga. Hakikat bahawa isu ini sentiasa bermain di bibir kita adalah kerana isu ini wujud pada setiap zaman. Pada masa ini, bahasa sms, bahasa rojak, bahasa remaja, dll. menjadi-jadi. Malah, ada pula menteri yang mahu menghukum dan mendenda pengguna bahasa Melayu yang ”salah.” Kita perlu berfikir secara dewasa.

Seratus enam puluh tahun yang lalu, Munsyi Abdullah (1847), sudah membuat pengamatan ini terhadap bahasa yang digunakan oleh orang Melayu. Beliau mendapati, ”Maka (oleh orang Melayu itu) tiada dipedulikannya jalan bahasa Melayu adanya.” Malah dalam hikayat pelayarannya ke Kelantan, beliau singgah di Terengganu dan menceritakan bagaimana sebutan ”orang-orang Terengganu itu ”aku dapati sentiasa menyebut tuang-tuang, jalang, makang, dll.”

Begitu juga dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956) terdapat beberapa buah kertas kerja yang memberi tumpuan kepada isu kelemahan bahasa ini (lihat: http://kongresbahasa.org/). Kertas kerja Zuber Said, S. Roomai Noor, Abdullah Majid, Dol Ramli menimbulkan perkara ini. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Keempat (1984) juga membangkitkan isu-isu ini melalui kertas kerja Nik Safiah Karim, Awang Sariyan dll, apabila mereka menimbulkan bahasa ”formal” dan tidak formal. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelima (1998) dan Keenam (2002) lebih memperkatakan isu martabat bahasa Melayu yang mula tergugat. Kongres yang Ketujuh (2006) yang berlaku serentak dengan seminar ini juga memperkatakan isu mertabat bahasa Melayu, dan ada isu mengenai bahasa Melayu yang bagi menjadi wahana budaya tinggi.

Adakah ini bermaksud bahawa isu ini tidak dapat diselesaikan? Tidak juga. Begitulah fitrah manusia berbahasa. Ada bermacam-macam neka bahasa. Dalam mengajarkan bahasa Melayu, kita membuat pilihan secara berani dan sedar. Bagi menjawab soalan apa dia yang mesti kita ajarkan. Kita mesti mengajarkan yang terbaik, dan yang terbaik itu ialah BAHASA MELAYU TINGGI.

2. Apakah yang Dikatakan Bahasa Melayu Tinggi

Kita mungkin pernah mendengar istilah bahasa baku atau standard. Konsep bahasa baku ini sukar difahami, oleh sebab itu sukar dilaksanakan, malah sekarang ditolak. Kertas ini mahu memperkenalkan satu konsep lain, iaitu BAHASA MELAYU TINGGI. Ini bukan konsep baru. Ia telah wujud dalam mana-mana bahasa, tetapi sering tidak dipedulikan. Konsep Bahasa Melayu Tinggi ini lebih mudah difahami, dan seterusnya dilaksanakan dan diajarkan.

Konsep Bahasa Melayu Tinggi (BMT) dengan mudah dapat dibezakan daripada Bahasa Melayu Rendah (BMR). Bahasa Melayu Tinggi ini dapat dikaitkan dengan penutur berpendidikan, majlis rasmi, tujuan rasmi, bahasa terkawal dan rapi, dll. Bahasa Melayu Rendah dikaitkan dengan bahasa bukan orang terpelajar, bukan urusan rasmi, dan tidak terkawal penggunaannya. Oleh sebab itu, kita tidak perlu membentuk undang-undang dan mendenda orang yang menggunakan bahasa rojak. Bahasa rojak itu perlu ada. Itu bahasa yang menurut fitrah manusia berkomunkasi. Setiap konteksnya memerlukan neka bahasa yang sesuai. Bahasa remaja untuk remaja. Bahasa rojak adalah untuk konteks tidak rasmi, tidak serius dan tidak kekal. Cuma Bahasa Melayu Rendah jangan digunakan dalam konteks rasmi.

Kenapa kita mahu menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dalam konteks tertentu? Falsafahnya adalah mudah. BMT adalah wahana budaya tinggi. Ini bahasa bagi menyalurkan ilmu pengetahuan, menjana idea, menyimpan himpunan budaya bangsa. Sebaliknya Bahasa Melayu Rendah adalah wahana budaya rendah. Gunakanlah BMR, budaya juga terus menjadi rendah. Lawak Senario tidak mungkin membawa lawak yang berunsur falsafah tinggi, ia akan kekal membuat lawak tampar-menampar dan ajuk-mengajuk suara pelik-pelik saja. Ungkapan seperti ”Sure heboh, Joooom heboh, sure gempaq” adalah ungkapan budaya rendah. Ungkapan ”Jom membaca!” tidaklah membayangkan budaya orang terpelajar yang mengungkapkan ”Bacalah!, Mari Membaca!, Galakan Membaca”, dll.

Bagi mengetahui apa yang dimaksudkan dengan BMT dan BMR, kita bincangkanlah dahulu apa yang dimaksudkan dengan neka bahasa. Neka bahasa ialah pelbagai penggunaan bahasa menurut konteksnya, seperti: bahasa formal, bahasa tak formal, bahasa halus, bahasa istana, dll. Istilah aneka tidak digunakan sebab dalam bahasa asalnya, bahasa Sanskrit, aneka bermaksud ”tidak berneka, tidak berbagai.” Setiap neka digunakan bagi sesuatu konteks tertentu, dan kemampuan seseorang penutur itu memilih neka yang sesuai dengan konteks penggunaannya akan menimbulkan kesan yang dikehendaki di dalam komunikasi. Bahasa formal dan tak formal ini dapat kita lihat dari dua tajuk umum, iaitu: neka bebas dan terkawal, dan neka mesra dan formal. (Istilah rasmi digunakan hanya merujuk kepada taraf bahasa yang digunakan dalam pentadbiran negara. Ini dijelaskan dalam perkara (2) di bawah)

(1) BMT menggunakan bahasa terkawal, BMR menggunakan bahasa bebas
Bahasa boleh digunakan sama ada dengan bebas atau dengan dikawal rapi. Neka bebas ialah bahasa yang digunakan dengan tidak mengambil kira sebutan, intonasi, pilihan perkataan, tatabahasa, penggunaan peribahasa dan budayanya dengan sepenuhnya. Sebaliknya neka terkawal mengambil kira segala aspek bahasa: sebutan yang betul, intonasi yang betul, pilihan perkataan yang sesuai, tatabahasa yang rapi, penggunaan peribahasa yang sesuai dan kreatif, dan dapat menunjukkan budaya orang terpelajar dan berbudaya tinggi. Penggunaan sepenuhnya dilakukan dengan rapi. Contoh neka bahasa bebas dan terkawal:

BMR (Bebas): Oh! tapi aku tak tau jawapannya.
BMT (Terkawal): Sebenarnya saya tidak mengetahui jawapannya.

Percampuran perkataan asing dengan perkataan bahasa Melayu paling menonjol dalam bahasa Melayu yang tidak terkawal. Contoh:

BMR (Bebas): I suka pi tengok picture tapi tak dak timelah, busylah nowadays!
BMT (Terkawal): Saya gemar menonton wayang gambar, tetapi, sekarang saya tidak mempunyai banyak masa untuk berbuat begitu.

(2) BMT menggunakan neka formal, BMR menggunakan neka mesra menggunakan dialek daerah dan bahasa basahan.
Neka mesra umumnya berbentuk lisan. Penggunaan neka mesra ini juga boleh dipindahkan ke bentuk tulisan, tetapi bentuknya tidak akan berubah. Bentuk neka itu akan ditulis dengan menggunakan perkataan-perkataan yang dipendekkan, pengguguran bahagian perkataan dan sebagainya, seolah-olah sama seperti bahasa lisan juga. Ini dapat dilihat contohnya dalam dialog sesebuah novel atau cerpen. Ia hanyalah bentuk lisan yang dirakamkan dalam bentuk tulisan.

Neka formal merujuk kepada penggunaan bahasa yang teratur, lengkap, dan memerlukan semua strategi pertuturan bagi memberi gambaran yang beradat, hormat, dalam konteks formal. Pada hakikatnya bahasa formal tidak serupa dengan bahasa rasmi. Rasmi menyatakan taraf sesuatu bahasa, manakala formal merujuk kepada keadaan penggunaan neka bahasa tersebut. Oleh sebab itu, bahasa formal mementingkan penggunaan perkataan, yang sesuai dengan konteks, ganti nama yang berpadanan, dan kata-kata yang tersusun rapi. Neka bahasa formal juga menuntut penggunaan nahu yang lengkap, dan intonasinya yang berpadanan. Pendek kata, neka bahasa formal adalah penggunaan bahasa yang rapi.

Neka mesra dan formal ini bertentangan dalam kebanyakan hal. Kedua-dua bentuk bahasa ini dapat ditinjau dari beberapa ciri.

(3) BMT sebagai neka formal menggunakan bahasa surat, BMR menggunakan neka basahan dan dialek daerah
Akhir-akhir ini pengguna bahasa Melayu, termasuklah televisyen, radio, akhbar mula menggunakan unsur bahasa dialek. Ini merendahkan bahasa mereka.

BMR (Dialek daerah): Jom baca.
BMT (Neka surat): Marilah membaca.

BMR (Dialek daerah): Mai pekena kopi dulu.
BMT (Neka surat): Silakan minum kopi dahulu.

BMR (Dialek daerah): Ke mane yop?
BMT (Neka surat): Encik mahu ke mana?

BMR (Neka mesra, keluarga): Abang, berape hargenye?
BMT (Neka surat): Encik, Berapa harganya?

BMR (Bahasa mesra, keluarga): Mana surat beranak Mak Cik?
BMT (Neka surat): Tolong berikan sijil lahir Puan kepada saya.

(4) BMT yang berbentuk formal adalah bahasa korporat (lelaki), BMR dalam neka basahan adalah bahasa perempuan.
Neka bahasa basahan sering menggunakan unsur pertanyaan ”kan?” dipendekkan daripada perkataan ”bukan?”. Amalan ini termasuklah perbuatan memendekkan ayat. Manakala bahasa BMT adalah formal dan menggunakan unsur-unsur yang lengkap dan sempurna. Dalam komunikasi antaraperibadi, bahasa neka basahan begini diistilahkan sebagai bahasa tidak pasti, atau bahasa permpuan. Bahasa perempuan adalah tidak berkuasa. Ia bukanlah bahasa yang digunakan dalam dunia korporat. Dunia korporat memerlukan penggunaan bahasa korporat atau bahasa lelaki. Bahasa lelaki ini adalah bahasa bertenaga dan berkuasa. Contohnya:

BMR (Neka basahan): Mak cik tinggal di P. J. kan!. Kat sini ada pasar malam kan! Mak Cik, boleh beli macam-macam kan!
BMT (Neka formal): Saya tinggal di Petaling Jaya. Di sini ada pasar malam. Kami boleh membeli segala macam keperluan.

Tentu sekali ungkapan seorang pengerusi mesyauarat seperti berikut tidak menunjukkan kuasa:

BMR (Bahasa perempuan): Pagi ini we all buat miting to decide sama ada nak terus buat projek rombongan ke Medan atau tidak, kan! Then, we all can putuskan cepat-cepat ...
BMT (Bahasa lelaki): Pada pagi ini kita bermesyuarat bagi membuat keputusan sama ada kita akan meneruskan projek untuk membuat rombongan ke Medan atau tidak. Kita perlu membuat keputusan ini dengan pantas, supaya ....

Bahasa yang rapi adalah lebih berkuasa dan berpengaruh. Umpamanya kita dapat dengan menudah melihat apa pengaruh yang timbul dalam kalangan audiens apabila ada dua orang pemidato, seorang Indonesia yang bertutur dalam bahasa Indonesia, dan seorang lagi dari Malaysia. Katakanlah bahasa A. A. Gym dibandigkan dengan bahasa Dato’ Fadhilah Kamsah. Bandingkan bahasa dalam filem ”Good Morning Teacher” dengan ”Apa Ada dengan Cinta.” Buatlah kesimpulan sendiri.

(5) BMT menggunakan ungkapan berintonasi tegas, tetapi BMR menggunakan banyak unsur tidak formal ”lah.”
Unsur lah sering timbul di dalam bahasa mesra (basahan), malah ini merupakan suatu penanda bahasa mesra (basahan) yang sangat jelas. Neka bahasa formal akan berbunyi janggal dengan penggunaan lah. Contohnya:

NMR (Neka basahan): Saya tak kisahlah, tiga set pun tak kisahlah, saya kira mesti menang saja. (Rashid Sidek)
BMT (Neka Formal): Saya tidak peduli berapa set saya perlu bermain, yang penting, saya mesti menang.

BMR (Neka basahan): Terima kasihlah, You banyak tolong keluarga I kan! I taulah you memang considerate, so I betoi-betoi appreciatelah.
BMT (Neka formal): Saya mengucapkan terima kasih. Sebenarnya Saudara (Encik) banyak membantu keluarga saya. Sumbangan Saudara sangat saya hargai.

(6) BMR menggunakan perkataan-perkataan yang bercampur-campur, BMT mengawal rapi perkataan yang digunakan.
Percampuran perkataan daripada bahasa lain seperti Cina, Arab, dan India semasa bertutur juga menunjukkan neka bahasa basahan dan tidak formal. Malah inilah yang dikatakan bahasa pasar. Tidak kira perkataan yang dicampurkan itu Inggeris atau Arab, apabila dicampur-campurkan, maka jadilah bahasa kita itu BMR. Contohnya:

BMR (basahan, pasar, tidak terkawal): I tak boleh ambek anak I from school hari ni. I ada PTA meeting.
BMT (Formal, rapi): Saya tidak dapat menjemput anak dari sekolah hari ini kerana terpaksa menghadiri mesyuarat PIBG.

(7) Intonasi
Intonasi neka bahasa mesra (basahan), oleh sebab mengiringi ungkapan-ungkapan yang pendek, selalunya tidaklah memberi pola sepenuhnya. Pola-pola neka bahasa formal akan lebih lengkap dan menggambarkan dengan jelas pola-pola tertentu seperti ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, ayat seru dll. Ini merupakan bidang yang kurang dihuraikan dalam bahasa kita untuk digambarkan dengan lengkap di sini.

(Perdengarkan pita Si Tanggang)

3. Apakah Sebutan Bahasa Melayu Tinggi?

Salah satu daripada ciri yang membezakan BMT daripada BMR ialah sebutan. BMR menggunakan sebutan bahasa basahan, dialek, tidak hormat dan sebagainya. Sebutan dalam BMT adalah rapi. Secara mudah, kita dapat mengatakan bahawa sebutan BMT adalah akan menyebut setiap huruf dalam setiap perkataan, laksana membaca sesuatu yang bertulis. Dalam BMT ada huruf yang diberi nilai sebutan yang berlainan sama sekali.Dalam BMR ada huruf yang tidak disebut, ada huruf yang ditambah dan ada huruf yang disebut dengan bunyi yang berlainan. Analisis sebutan tiga orang pelajar UPSI (Nor Adilah Hassan, 2006) mendapati sebutan vokal dan konsonan seperti berikut:

Huruf yang disebut berlainan:

Vokal a → e (apa → ape, saya → saye)
Vokal e → digugurkan (sekali → skali, terima → trima)
Vokal i → digugurkan pada awal kata
Konsonan l → oi (betul → betoi, ketul → ketoi)
Konsonan l → ai (bekal → bekai, bantal → bantai
Konsonan l → k (ambil → ambik, kecil → kecik)
Konsonan r → gh (rumah → ghumah, orang → oghang)
Konsonan r → q (gempar → gempaq, besar → besaq
Konsonan s → h (habis → habih, kobis → kobeh)
Suku kata us → uih (halus → haluih, kurus →kuruih)

Huruf yang tidak disebut, contoh:
Konsonan r → gugur (fikir → pike, leter → lete, kasar → kasa, hulur → hulo, tersohor → tersoho, dll.)

Huruf yang ditambah, contoh:
bapa → bapak
nasi → nasik
curi → curik

Perkataan yang dihilangkan. Yang lebih menyedihkan, kita mengikut sebutan orang bukan Melayu. Contohnya:
Genting (nama tempat di Pulau Pinang) → Ginting,
Hang Jebat → Hang Jibat (Sebutan guru Melayu yang sudah lama mengajar di sekolah Cina),
serikaya → kaya (sebutan Cina menghilangkan ”seri”)

Perkataan yang disebut menjadi singkatan, contohnya:
hendak → nak,
tidak → tak,
bukan → kan,
ini → ni,
itu → tu,
tahu → tau
mahu → mau
kahwin → kawin
sembahyang → semayang
tetapi → tapi
jikalau → kalau
sekarang → karang, kang, dll.

Bahasa sms (BMR) sering menggugurkan huruf r dalam sebutan, contohnya:
pergi → pegi
cadar → cada
arked → aked
firdaus → fidaus
berapa → bape
bernikah → benikah
warna → wane
keluar → kelua
perbaik → pebaik
berjanji → bejanji
biar → bia
fikir → pike
langsir → langse

Bahasa remaja (BMR), contohnya:
lepas → pas
macam ini → camni
macam itu → camtu
kalau → kalu, ko
dengan → ngan
kakak → kak, akak
dekat → kat
sudah → dah
tidak → dak, xda
bahagian → bagian
dapat → pat
ada → da
entah → tah
saja → aje, jerr, dll.
buat susah sahaja → wat sah jerrr ye!

4. Bahasa Melayu Tinggi Berbudi Bahasa

Dalam BMT, gelaran lengkap seseorang yang ditegur digunakan selengkapnya. Gelaran hormat seperti: encik, tuan, puan, dan gelaran nama profesion seperti: Dr., Inspektor, Cikgu, dll. akan digunakan sepenuhnya dalam percakapan formal. Apabila kita tidak menggunakan panggilan hormat, kita melakukan kesalahan. Kesalahan ini hendaklah dibetulkan. Hormatilah pelanggan dengan panggilan Tuan, Puan atau Encik. Kalau tahun gelarannya seperti Tan Seri atau Datuk, itu lebih baik. Bagi seorang peniaga setiap pelanggan adalah lebih tinggi tarafnya daripada diri peniaga itu sendiri. Begitu juga bagi kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, kerana orang ramai adalah pelanggan mereka. Ingatlah, tangan yang di atas lebih mulia daripada tangan yang di bawah. Dan ingatlah, tangan pelanggan sentiasa berada di atas, walaupun pelanggan itu hanya orang biasa-biasa sahaja.

(1) Panduan Mengunakan Panggilan Rasmi
Ada enam panduan untuk menggunakan panggilan rasmi dalam bahasa Melayu. Panduan itu adalah seperti berikut:

1. Sekiranya diketahui orang itu mempunyai gelaran (seperti Tun, Toh Puan, Datuk, Datin, Datuk Seri, Datuk, Datin, Yang Berhormat, dll.); nama profesion (Doktor, Ustazah, Cikgu, dll.); nama pangkat (Inspektor, Kolonel, dll.), gunakan nama gelaran tersebut.

2. Apabila ada lebih daripada satu, gunakanlah gelaran yang tertinggi saja. Tuan, untuk semua lelaki, terutama yang dikenali sebagai tokoh penting dalam masyarakat. Jikalau dia sudah menunaikan haji, gunakan Tuan Haji.

3. Puan, untuk semua wanita, lebih-lebih lagi sekiranya diketahui dia sudah berkahwin. Jikalau dia sudah menunaikan haji, gunakan Puan Hajah.

4. Encik, atau Cik boleh digunakan untuk lelaki dan perempuan, sama ada sudah berkahwin atau belum.

5. Saudara dan Saudari, untuk pemuda dan pemudi antara 16 tahun hingga 25 tahun. Boleh juga digunakan kepada orang-orang yang dapat dianggap sebagai setaraf atau lebih rendah daripada yang bercakap. Umpamanya, seorang pemimpin boleh memanggil semua orang Saudara. Encik, atau Cik boleh digunakan untuk lelaki dan perempuan, sama ada sudah berkahwin atau belum.

6. Ingatan: Jangan sebut nama. (tak sebut nama bapa sendiri, biadab)

(2) Panduan Menggunakan Panggilan Tidak Rasmi
Panduan berikut akan dapat membantu kita menggunakan sistem panggilan dalam bahasa Melayu bagi konteks tidak rasmi.

1. Gunakanlah panggilan Pak Cik, Mak Cik, Abang dan Kakak kepada orang-orang yang kita kenali dengan mesra sahaja. Ingatan: Apabila diguankan di tempat yang rasmi, panggilan-panggilan ini menjadi panggilan biadab.

2. Panduan Panggilan Dalam Perniagaan Mesti Rasmi. Dalam perniagaan, semua urusan adalah rasmi. Bentuk sapaan rasmi saja yang digunakan. Untuk lelaki gunakanlah: Tuan dan Encik. Untuk perempuan gunakanlah Puan, Cik Puan, Encik atau Cik saja. Ingatan: Panggilan keluarga seperti pakcik, makcik, abang, kakak, dan adik tidak terlibat kerana ini bukan lingkungan keluarga.

3. Sekiranya pelanggan mempunyai gelaran seperti Tun, Toh Puan (Sebutannya Tok Puan), Datuk, Datin, Datuk Seri, Datuk, Datin Yang Berhormat, Doktor, Ustaz, gunakanlah nama gelaran atau nama profesion itu.

4. Amalan dalam bahasa Jepun, fatwanya mudah dan sopan. Mungkin boleh kita tiru. Apabila orang pertama (saya, aku, kita, kami) bercakap dengan orang kedua (awak, kamu, kalian) bentuk panggilan mulia atau lebih tinggi digunakan (Panggilah Tuan dan Puan). Apabila orang pertama dan kedua bercakap mengenai orang ketiga (dia, beliau, mereka), maka orang ketiga itu lebih dimuliakan (Panggilah beliau).

5. Elakkan menggunakan gantinama ‘anda’ dan ‘kalian’ terhadap orang yang lebih mulia. Anda dan kalian menurunkan taraf khalayak pendengar kepada taraf kita (down-levelling). Adalah biadab menurunkan taraf orang mendengar kepada taraf kita.

6. Memuju tubuh, paras, dan pakaian orang di khalayak adalah biadab.

7. Menyentuh tubuh orang juga adalah biadab.

(3) Ganti nama dan sistem panggilan
Kita sering mengalami kekeliruan antara ganti nama dan panggilan hormat. Oleh sebab itu kita mengajarkan bagaimana menggunakan ganti nama, sebagai orang pertama, kedua dan ketiga, dan seterusnya. Akibatnya kita mendapat ungkapan begini dilahirkan oleh pelajar.

Murid: Cikgu saya mahu jumpa kamu.

Pelajar ini pandai menggunakan kata ganggilan hormat ”Cikgu” kepada gurunya. Tetapi, murid tidak memahami kaedah menggunakan ganti nama ”kamu.” Ganti nama ”kamu” hanya boleh digunakan kepada rakan setaraf sahaja, tidak dengan orang yang lebih tinggi taraf.

Namun, memang ada unsur keengganan menghormati apabila kita tidak menggunakan bahasa Melayu yang terikat dengan unsur hormat. Maka ungkapan begini pernah terdengar.

Pegawai (BMR): Tuanku, your turn.
BMT: (Ampun) Tuanku, (Dipersilakan) ini giliran Tuanku.

Setiausaha (BMR): Tuan, your wife called.
BMT: Tuan, isteri Puan menelefon tadi.

(4) Bahasa kanak-kanak yang tidak hormat
Aada kalanya kita mendapati orang dewasa bukan sahaja tidak hormat, tetapi mengada-ngada apablia mereka menggunakan bahasa kanak-kanak. Ini belaku apabila orang dewasa menggunakan nama sendiri untuk orang pertama ”saya, aku, hamba,” dll. apabila merujuk kepada diri sendiri. Neka bahasa formal tidak akan mengizinkan penggunaan nama sendiri untuk menggantikan ”saya,” dll. Contohnya:

BMR (Bahasa kanak-kanak): Malek perlu berlatih lebih kuat lagi .... (Malek Nor) ditemu duga di TV.
BMT (Neka formal): Saya perlu berlatih lebih gigih lagi ...

Memang agak aneh bagi seorang ahli bena badan seperti Malek Nor menggunakan bahasa kanak-kanak dalam temu duga di televisyen dan menunjukkan penggunaan bahasa kanak-kanak. Siti Norhaliza juga membahasakan dirinya ”Siti” dalam iklan. Ini adalah kesilapan penggunaan bahasa kanak-kanak sebagai bentuk ”mengada-ngada,” dan ini adalah unsur BMR. Perbuatan mengada-ngada di khalayak adalah tidak hormat.

GURU BAHASA MELAYU PERLU MENJALANKAN BANYAK FUNGSI LAIN

Tuntutan tugas yang perlu dijalankan oleh seorang guru bahasa Melayu adalah lebih berat daripada sekadar menggunakan BMT yang dijelaskan di atas.

(1) Tingkatkan Himpunan Ilmu Asas
Isi pelajaran Bahasa Melayu menyerapkan pelbagai bidang ilmu serta pelbagai tema yang mencakupi hal-hal persendirian dan kemasyarakatan. Objektif ini tidak kelihata pada guru pelatih yang saya cerap setiap tahun. Tidak ada seorang pun yang menunjukkan ada maklumat tambahan sebagai bukti mereka mempunyai himpunan ilmu asas mengenai falsafah, agama, ekonomi, politik, sosiologi, sejarah, nilai, geografi, sains, teknologi, dll. Tidak pun mengenai apa yang berlaku dalam akhbar semasa. Oleh yang demikian mereka sangat bergantung kepada buku ulang kaji. Apa saja yang ada dalam buku ulang kaji, difotostat dan dibawa ke bilik darjah. Kita perlu memikirkan bagiamana dapat memperlengkap guru ini dengan maklumat dan ilmu tambahan bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lebih berwibawa dan menarik. Pernah di Eropah dan Amerika Utara para pelajar diwajibkan membaca 100 karya agung (100 Great Books). Sebuah kursus begini sedang dibina di UPSI, bagi membolehkan para guru menguasai himpunan ilmu asas yang berpada untuk seorang guru.

(2) Penyerapan Nilai Murni
Semangat kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat Malaysia yang berlandaskan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan hendaklah diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Meskipun penyerapan dilakukan secara sedar dan terancang namun perlu dipastikan murid menyerap ilmu dan nilai tersebut secara natural.

Tetapi, apa yang berlaku dalam bilik darjah, menunjukkan ini berlaku. Semua kelapan-lapan guru pelatih ada meletakkan nilai bekerjasama dalam objektif persediaan mengajarnya. Tetapi dalam masa mengajar, tidak sekalipun perkataan kerjasama timbul. Kemudian, apabila ditanya kenapa mereka tidak mengajarkan atau menyebut tentang nilai kerjasama, maka jawapannya sama saja, iaitu ‘Saya beri mereka kerja berkumpulan, itu mereka sudah berkerjasama.’ Betullah, tetapi bukan itu yang dimaksudkan. Ini bermakna mereka tidak memahami perkara yang dikatakan nilai kerjasama, tidak pula mengetahui kaedah dan strategi mengajarkannya.

Nilai kerjasama mesti diungkapkan supaya muridmemahami perkara yang dipelajarinya. Nilai kerjasama juga boleh dipelajari melalui cerita, peristiwa, dll. Malah cerita adalah yang paling baik. Menggunakan pepatah ‘bersatu teguh bercerai roboh,’ atau bidalan ‘Ibarat lidi sebatang mudah patah, kalau segumpal tidak mudah patah’ tentu dapat membantu.

Contoh kedua, pendidik bahasa Arab, sudah menyerapkan nilai patriotisme tinggi apabila mengajar huruf dan sebutan kepada anak-anak. Apabila mengajarkan sebutan huruf, maka dinyanyikan ardu ajdadi (negaraku paling utama, untuk alif), ………….. (untuk ba’), tinun fil alwadi (buah tin di lurahku, untuk ta’) dan seterusnya. Lagu-lagu ini akan kekal dalam qalbu mereka.

Tetapi, dalam mengajarkan bahasa Melayu, kita tidak menggunakan kesempatan ini. Yang kita buat tidak membawa apa-apa erti demikian. Sebagai contoh, kita mengajarkan huruf A untuk apel. Alangkah sayangnya! Peluang keemasan berlangsung dengan tidak dipergunakan secara bijak.

Bahkan ada masanya kita tidak peka langsung tentang hal ini, lalu kita sibuk mengajarkan ‘Twinkle, twinkle litle star, How I wonder what you are.’ Kalaulah kita tahu bahawa bintang yang kita ajarkan itu adalah ‘the star of David’ mungkin kita perlu beristigfar.

Ada banyak cerita-cerita rakyat tempatan, cerita-cerita kejayaan tokoh, cerita-cerita pahlawan, cerita mengenai kepandaian, kepintaran, kesetiakawanan, ketaatan, dll. Semua cerita ini dapat diajarkan bagi disampaikan dalam mata pelajar bahasa Melayu bagi menyerapkan nilai-nilai murni.

(3) Mengajarkan Kemahiran Berfikir
Begitu juga, kemahiran berfikir hendaklah diserapkan secara terancang dengan kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, dan menulis. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu ini memberikan penekanan pada kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran.

(a) Pendekatan yang Sukar
Jenis Kemahiran Berfikir yang sering disebut dalam Bahasa Melayu ialah: mencirikan, mengelaskan, mengumpulkan, mengkategorikan, membuat kaitan dan perhubungan, membanding dan membeza, menyusun atur, mengenal pasti kenyataan benar atau palsu, membezakan fakta dengan pendapat, menganalisis, mengesan kecondongan pendapat, mengenal pasti sebab akibat, meramal, mensistesis, mengitlak, membuat analogi, membuat inferens, membuat kesimpulan, menginterpretasi, mentafsir, mengenal pasti idea utama dan idea sokongan, menilai, menjana idea, merumus, meringkas, membuat keputusan, dan menyelesaikan masalah.

Jenis kemahiran berfiklir yang dinyatakan di atas bertujuan membolehkan kemahiran berfikir tersebut dikuasai murid, alat berfikir seperti penyusun grafik, soalan (bertumpu, bercapah dan lingkaran soalan) serta peta minda perlu digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Namun semuanya kelihatan terlalu kompleks, dan pelajar yang saya cerap tidak dapat memahami bagaimana mereka harus menerapkannya dalam pengajaran.



(b) Pendekatan Menggunakan Cara Berfikir
Kita perlu mencari jalan yang lebih berkesan dan mudah. Mungkin ada baiknya kita mengajarkan gaya-gaya berfikir seperti berikut:

Berfikir secara kreatif
Berfikir secara positif
Berfikir secara negatif
Berfikir secara analitis
Berfikir secara matematikal
Berfikir secara informatif
Berfikir secara logikal
Berfikir secara kritis
Berfikir secara emosional
Berfikir secara menurut nilai
Berfikir secara sistematis
Berfikir secara konstruktif
Berfikir secara okbjektif
Berfikir secara judgmental
Berfikir secara selari

Umpamanya berfikir secara keatif itu ialah membuat perkara berikut:
Memprovokasi minda bagi menerbitkan sesuatu yang baru
Menghasilkan persepsi, konsep, idea baru
Menghasilkan kemungkinan cadangan, plan tindakan baru
Menghasilkan beberapa penyelesaian kepada masalah yang sama
Menghasilkan idea bagi menghasilkan idea lain
Tidak menilai dan tidak terperangkap dalam pola berfikir lama

Dan kemudian diberi latihan, contohnya:
Apa cadangan kita menggalakkan orang membaca?
Beri cadangan menggalakkan remaja bertani?
Apa produk kraftangan yag dapat dihasilkan di kampung atau tempat kamu?
Kalau kamu mahu bertani, fikirkan tanaman yang paling sesuai.

Bagi setiap cara berfikir di atas, kita dapat memberikan ciri-cirinya yang lebih mudah difahami murid. Lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan sebarang maklumat dan ilmu yang diikutsertakan.

(c) Berfikir Secara Kritis
Apabila kita berfikr secara kritis, kita perlu mengetahui bahawa; berfikir secara kritis itu adalah:

Berfikir secara reaktif, perlu ada idea barulah gaya ini dapat mengkritik
Gaya kritis tidak menghasilkan idea baru, proposal atau cadangan. Hanya boleh memperbaiki idea lama.
Ini adalah tradisi berfikir Barat, dan mencari kesalahan, kecacatan dan kelemahan
Mencari keganjilan, pertentangan, petrbezaan
Berfikir secara kritis ini penting, tetapi tidak mencukupi, kita perlu mengibangkannya denganberfikir secara informatif, logikal dan kreatif.

Kemudian barulah kita beri latihan, umpamanya:

Senaraikan kelemahan rakan baik anda
Senaraikan kesalahan bekas ketua kampung tempat anda tinggal
Cari sebab kenapa projek menternak yang anda jalankan gagal, dll

Latihan begini mudah sahaja dihubungkan dengan pengelaman pelajar di sekolah, di tempat tinggal, atau dengan bahan yang digunakan dalam mengajarkan bahasa Melayu, dll. Dengan demikian, kita dapat menjalankan aktiviti berfikir dengan melihat produk berfikir itu sendiri. Ini akan dapat meningkatkan minat belajar murid.

(d) Logik dan falasi
Begitu juga mengajar logik. Logik sukar diajar, malah tidak mermakna sekiranya tidak diajarkan dengan falasi. Falasi itu ialah sesuatu hasil berfikir yang kita anggap benar, tetapi sebenarnya salah. Banyak orang, termasuk pemimpin sering membuat kesilapan ini. Malah setiap hari dapat kita pungut banyak falasi. Ini.

Logik adalah sistem membuat kesimpulan berdasarkan silogisme. Umpamanya:

Kebenaran: Semua manusia mati akhirnya.
Perkara: Mamat adalah manusia.
Kesimpulan: Mamat akan mati juga akhirnya.

Kesimpulan ini betul. Namun, ada banyak kesimpulan yang salah, sebab asas membuat hujah itu salah, maka kesimpulan juga salah. Umpamanya:

Kebenaran: Semua orang pandai berbahasa Inggeris dapat pekerjaan.
Perkara: Semua rakyat Britain pandai berahasa Inggeris.
Kesimpulan: Semua rakyat Inggeris dapat pekerjaan.

Ternyata ini tidak betul. Ada 14% pengangguran di Britain. Mereka tidak ada pekerjaan kerana tidak ada pekerjaan. Bukan kerana mereka tidak pandai berbahasa Inggeris.

Umpamanya, Kementerian Pelajaran sedang giat menyediakan bahan bagi mengajarkan seks di sekolah. Apa kebenaran yang dijadikan asas membuat kesimpulan ini.

Kebenaran: Semua orang yang memahami seks tidak melakukan kesalahan seks.
Perkara: Ajarkan seks kepada semua kanak-kanak seklah di Malaysia.
Kesimpulan: Maka kanak-kanak Malaysia tidakakanmelakukan kesalahan seks.

Ternyata kesimpulan begini tersasar jauh dariapada kebenaran.

Kita perlu mengajarkan logik dan falasi ini dengan cara yang dapat menyentuh kehidupan murid seharian. Barulah pelajaran berfikir menjadi lebih mudah dan bermakna dipelajari.

Sememangnya berfikir ini perlu dihubungkan dengan apa yang diajarkan melalui mata pelajaran bahasa Melayu. Cuba lihat.

Guru pelatih mengajarkan berfikir dengan menggunakan ‘Cerita Puteri Gunung Ledang.’

Ada banyak cara berfikir yang dapat dilatih. Tetapi pelajar hanya mengajarkan apa yang mereka faham dengan tidak menyoal.

Tidak disoal tentang kezaliman raja
Tidak disebut tentang ketaatan rakyat yang tidak masuk akal.
Juga guru tidak tahu di mana Gunung Ledang. Tidak ada peta. Sekiranya mereka membuka Google Earth, mereka dapat melihat dan mencetak peta negeri Johor bagi menunjukkan Gunung Ledang.

(4) Mengajarkan Kemahiran Bernilai Tambah lain-lain
Kemahiran bernilai tambah yang lain iaitu kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme dan pembelajaran kontekstual juga perlu diserapkan dengan mengambil kira kesesuaiannya dengan hasil pembelajaran yang ingin dicapai, kebolehan murid, serta sumber yang ada.

Ada banyak yang dapat diperkatakan dalam hal ini. Kertas ini akan menyentuh satu aspek sahaja, iaitu kajian masa depan. Apabila ditanya tentang kajian masa depan, guru pelatih rata-rata menyebut masa depan. Tetapi tidak dibekali dengan sebarang teknik bagi memahami dan mengajarkan kajianmasa depan. Pada hal ini sangat penting. Umpamanya dalam sebuah makalah untuk Dewan Siswa pada tahun 1997, pengarang pernah menuliskan apa yang dikatakan Kaedah Delphi. Malah ada 21 makalah semuanya yang pernah saya tulis mengenai kajian masa depan. Satu daripadnya yang jelas menerapkan Kaedah Delphi ini dapat diterapkan kepada keperluan berladang. Contoh:

Bagaimanakah orang dapat meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan? Ada beberapa kaedahnya. Satu daripadanya ialah dengan melihat apa amalan kita pada masa ini. Kemudian kita pindahkan amalan itu kepada satu benda lain. Setelah itu, cuba bayangkan apa yang akan dapat dibuat dengan benda itu. Salah satu daripada perkara yang kita boleh ramalkan dengan kaedah ini ialah amalan kita berladang.

Apabila kita berladang pada masa ini, kita sebenarnya membuat dua perkara. Pertama, kita menanam tumbuhan yang boleh mendatangkan hasil yang kita jadikan makanan seperti ladang-ladang bijirin dan kebun buah-buahan. Kita juga menanam tumbuhan yang menjadi perhiasan dan dapat kita lihat untuk riadah seperti taman-taman bunga dan rimba rekreasi. Kedua, kita memelihara binatang. Binatang-binatang ini juga kita pelihara untuk dua tujuan. Kita menternak binatang seperti ayam, itik, lembu, kambing, dll. untuk menjadi atau menghasilkan makanan. Kita juga memelihara binatang seperti gajah, harimau, zirafah dll. di dalam zoo untuk menghiburkan kita.

Sekarang mari kita lihat bagaimana amalan berladang ini dapat dipindahkahn ke lautan atau samudera. Bumi kita ini dilitupi oleh tanah dan samudera, tetapi luas samudera adalah lebih besar. Luas muka bumi yang dilitupi tanah ialah 19.2 peratus, manakala luas bumi yang dilitupi oleh samudera ialah 70.8 peratus. Malah, jumlah isipadu air di bumi ini ialah 1.2 bilion kubik kilometer, iaitu lapanbelas kali ganda isipadu tanah di atas paras laut. Samudera ini mengandungi banyak potensi untuk menghasilkan keperluan manusia. Tumbuhan dan binatang hidup dalam air samudera. Manusia boleh menanam tumbuhan tertentu dalam air samudera, dan memelihara binatang-binatang samudera untuk menjadi makanan. Manusia boleh berladang di dalam air samudera. Manusia boleh menjadi peladang samudera.

Ini tidak sukar difahami oleh guru. Cuma guru perlu rajin membuka Google Search.

(5) Beberapa Isu Tatabahasa
Walaupun kali ini kita membincangkan fasal penyerapan kemahiran, tetapi pengajaran Sistem Tatabahasa yang diperhatikan juga disentuh.

(a) Adverba atau Keterangan?
Walaupun Tatabahasa Dewan (1981, 1993, 2004), tidak menyenaraikan kata adverba sebagai golongan perkataan, namun pada halaman xiii contohnya diberi seperti berikut.

Dia berjalan cepat. (cepat adalah kata adverba)
Dia tidur lewat malam tadi. (lewat adalah kata adverba)

Hanya dalam Tatabahasa Dewan, (Manuskrip Edisi Semakan 2005) barulah kata adverba dikatakan wujud dalam bahasa Melayu sebagai satu jenis kata tugas. Namun, Tatabahasa Dewan menggunakan istilah fasa dan klausa keterangan apabila merujuk kepada farsa dan klausa yang menerangkan kata kerja. Istilah keterangan pertama kali diperkenalkan oleh S. T. Alisjahbana (1963: Bab 2). Beliau memanggil kata adverba itu sebagai kata keterangan, frasa adverba sebagai frasa keterangan, dan klausa adverba sebagai kalimat atau klausa keterangan. Akan tetapi, Tatabahasa Dewan menggunakan dua istilah yang berlainan bagi merujuk kepada konsep yang sama, iaitu adverba pada perkataan dan keterangan pada frasa dan klausa.

Sebenarnya Tatabahasa Dewan memang wajar dan tepat apabila menggunakan istilah keterangan bagi merujuk kepada frasa dan klausa yang menerangkan kata dan frasa kerja dalam ayat majmuk pancangan keterangan. Sekarang, istilah keterangan itu digunakan juga bagi merujuk kepada konsep dan proses yang sama pada peringkat perkataan. Apabila ada perkataan yang menerangkan kata kerja dan kata sifat, maka kita panggil perkataan itu kata keterangan. Perkataan yang menerangkan kata keterangan juga dipanggil kata keterangan. Penggunaan satu istilah saja, sama ada kata adverba atau kata keterangan akan memudahkan dan menyeragamkan proses p &p dalam menajarkan bahasa Melayu. Ataupun, Pusat Perkembangan Kurikulum dapat mengizinkan tatabahasa pedagogi membuat penyeragaman ini dengan tidak perlu mengubah apa yang ada dalam Tatabahasa Dewan yang digunakan sebagai pegangan.

(b) Kata Sendi Nama atau Kata Sendi?
Istilah sendi nama menimbulkan satu isu pemahaman, iaitu menyulitkan p & p. Cuba lihat risalah Sendi Nama Bahasa Malaysia, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1988) halaman 11. Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri gagal membezakan antara sendi kata dan sendi nama. Contohnya:

Bagi Selvam, tidak ada kerja yang paling menggembirakan hatinya selain daripada menolong membina hospital tersebut.

Dalam contoh di atas perkataan yang dipanggil sendi nama adalah daripada. Tetapi, perkatan daripada berlaku di depan kata kerja menolong. Oleh sebab itu, daripada bukanlah sendi nama. Ini mengelirukan guru dan pelajar.

Sebenarnya tidak perlu digunakan istilah sendi nama sebab istilah sendi kata tidak digunakan kerana sendi kata sudah dipanggil kata hubung. Oleh sebab itu, sama ada kata sendi tersebut digunakan di depan kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas, fungsinya adalah menunjukkan perkaitan tempat, arah, masa dan sebab akibat antara kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Oleh itu wajarlah kata sendi nama dipanggil kata sendi saja.

Asmah Hj. Omar (1993) menggunakan istilah kata depan, manakala Asraf Abdul Wahab (1989) dan Arbak Otman (1983) dan Abdullah Hassan (2006) menggunakan istilah kata sendi saja. Tatabahasa pedagogi eloklah diberi sedikit kebebasan menggunakan istilah yang ringkas, tepat dan mudah difahami, iaitu kata sendi. Juga, Tatabahasa Dewan hanya menyenaraikan 25 kata sendi. Penyelidikan di UPSI menemui 29 kata sendi tunggal, 51 kata sendi terbitan, dan 51 kata sendi gabungan (majmuk?). Wajarlah dapatan terkini dalam penyelidikan ini disalurkan ke dalam p & p. Mengajar Cuma 25 kata sendi tentu sekali menghilangkan banyak fungsi kata sendi yang sangat penting dalam mengajar bahasa.

(c) Kata Penggandaan Separa
Definisi penggandaan daah Tatabahasa Dewan adalah tepat. Contohnya: laki → lelaki, jari → jejari,langit → lelangit, dll. Namun, conth yang diberi yang diberikan pada halaman 78 adalah salah. Contoh penggandaan di bahagian belakang adalah: berlari-lari, mencari-cari, berturut-turut, dll. Conth penggandaan di bahagian depan adalah: kasih-mengasihani, cinta-mencitai, kejar-mengejar, dll. Ada seorang guru pelatih mengambil contoh yang salah begini bulat-bulat, ternyata ada dua kelemahannya. Pertama, guru pelatih itu tidak langsung kritis dan dapat mengenali apa yang betul dan salah. Ini bermakna kita gagal mengajar mereka berfikir dan membezakan fakta dengan kesilapan. Kedua, dia tidak berkemampuan menjana bahan mengajar sendiri. Mungkin kerana takut benar keluar daripada tatabahasa pegangan sehingga tidak sanggup membuat bahan sendiri. Kita gagal mengajarkan kreaiviti berbahasa kepadanya. Dia tidak mampu membentuk pola-pola baru yang betul.

KESIMPULAN

Penggunaan Bahasa Melayu Tinggi, adalah amalan yang terbaik dalam mengajarkan bahasa Melayu. Namun, itupun bukan segala-galanya. Ada banyak perkara lain yang dapat dikemukakan bagi memperbaiki profesion keguruan. Yang dibicarakan di sini hanya sebahagian. Ada lagi unsur kemahiran bernilai tambah seperti kemahiran komunikasi interpersonal, mempengaruhi orang, memberi pendapat, santun bahasa, parabahasa, dll. Setiap satunya perlu pembicaraan yang mendalam.

No comments: